🔥 SEIYA Dilancarkan! Penonton Kini Penentu Juara Video Raya

🔥 SEIYA Dilancarkan! Penonton Kini Penentu Juara Video Raya




Saya namakan sistem ini “SEIYA”. Cara sebutnya SE-I-YA, sempena perkataan “seia sekata” yang bermaksud sepakat, bersetuju dan mempunyai pendapat yang sama. Dalam konteks ini, penonton bersama-sama mengiyakan sesuatu video itu sebagai johan pilihan mereka.


Asalnya saya cuma mahu menaik taraf cara menghimpunkan video-video raya terbitan sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara, seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini.

Sebelum ini kita pernah menganjurkan pertandingan dengan hadiah RM1,111.11 menggunakan sistem semi-automatik yang mempunyai fitur agak terhad. Kemudian kita beralih kepada kaedah menghimpunkan video dalam playlist YouTube, di mana kedudukan video ditentukan berdasarkan jumlah tontonan (views) dan tanda suka (likes).


Tahun ini kita cuba naik taraf lagi.

Sistem ini kini automatik sepenuhnya, dengan ciri pencalonan atau cadangan video daripada sesiapa sahaja. Kedudukan carta pula ditentukan melalui undi penonton secara mudah, hanya dengan satu klik.

Bagi menjaga integriti sistem, setiap peranti (device) hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk satu video. Selain itu, sistem ini turut dilengkapi tapisan keselamatan seperti pengesanan VPN untuk menghalang spam, bot atau cubaan menghasilkan undi palsu.


Untuk tahun ini, sistem SEIYA akan digunakan khusus bagi menghimpunkan video-video raya terbitan sekolah di Malaysia. Guru dan murid boleh mencadangkan video untuk dimasukkan ke dalam carta dalam tempoh yang akan dimaklumkan nanti.

Buat masa ini belum ada hadiah ditawarkan kepada video yang menduduki tempat teratas. Tujuan utama adalah untuk memperkenalkan sistem ini terlebih dahulu sebagai platform yang boleh digunakan pada masa hadapan untuk pertandingan video berdasarkan undi penonton.


InsyaAllah, sekiranya ada penaja, kita boleh menyediakan hadiah kepada Top 10 yang tersenarai tahun ini. Jika belum ada rezeki penaja, saya hanya mampu menyediakan sijil penghargaan daripada Akademi Youtuber sebagai tanda penghargaan.

Dah siap video raya?
Standby dulu… bila tiba masanya nanti, kita buka pencalonan dan bolehlah hantar video masing-masing.


Kalau nak cuba demo, boleh juga. Buat masa ini saya masukkan beberapa video lagu terkini sebagai contoh (dummy) sahaja. Nanti semuanya akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada video-video sekolah.

#TerusMenyala
#akademiyoutuber
#edufluencersperak
#edufluencerskpm
#cikgusuffi
#kitabantukita
Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Catat Ulasan

To Top
Join Our Group