RM1 Itu Kecil, Tapi Ramadan Itu Besar Maknanya
RM1 Itu Kecil, Tapi Ramadan Itu Besar Maknanya
RM1.
Hari ni orang tengok RM1 macam takdak apa sangat.
Jatuh celah seat kereta pun kadang malas nak ambik.
Tapi dulu… bagi aku, RM1 tu cukup besar.
Setiap kali masuk Ramadan, itulah jumlah yang aku minta kat mak.
Tak pernah lebih.
Tak pernah cuba tambah.
“Mak, nak seringgit.”
Itu saja.
Bukan sebab aku tak nampak benda lain di bazar.
Bukan sebab tak teringin kuih warna-warni, ayam percik berasap, atau air dalam balang besar tu.
Tapi aku takut.
Takut kalau aku minta lebih, mak jadi susah.
Takut kalau aku teringin lebih-lebih, mak terpaksa fikir macam mana nak cukupkan.
Jadi aku hadkan diri aku awal-awal.
RM1. Air soya. Sudah.
Setiap petang aku kayuh beskat ke bazar.
Angin Ramadan petang tu lain macam dia punya rasa.
Perut kosong, tapi hati seronok.
Bau makanan kiri kanan menggoda sungguh.
Tapi mata aku tetap cari satu benda... plastik jernih berisi air soya, ikat getah merah kat hujung tu.
Sepanjang Ramadan, kedai tu lah yang aku pi.
Macam bazar tu ada satu kedai ja dalam dunia aku.
Padahal bukan takdak pilihan.
Cuma aku tak berani pilih.
La ni bila aku fikir balik…
aku baru faham.
RM1 tu kecil.
Tapi Ramadan tu besar maknanya.
Dalam RM1 tu ada rasa sayang.
Ada rasa segan.
Ada rasa taknak menyusahkan.
Aku mungkin tahan lapar sikit sebelum berbuka.
Tapi yang aku lebih tahan sebenarnya keinginan.
Budak kecik mana pandai fikir ekonomi keluarga.
Tapi hati anak ni kadang sensitif.
Kita boleh rasa bila mak kira duit lama sikit sebelum hulur.
Kita boleh nampak bila mak senyum tapi mata dia penat.
Jadi kita pilih untuk cukup.
La ni bila dah besar, bila dah pegang duit sendiri, baru faham betul-betul.
Dulu aku ingat aku cuma beli air soya.
Rupanya aku sedang belajar erti empati.
Belajar bahawa kasih sayang bukan pada banyak mana kita minta,
tapi pada sejauh mana kita cuba jaga hati orang yang kita sayang.
Ramadan dulu sederhana.
Tak banyak pilihan.
Tak banyak gaya.
Tapi hati penuh.
Hari ni pilihan terlalu banyak.
Air soya pun ada macam-macam versi.
Tapi rasa dia tak sama.
Sebab yang buat manis tu bukan gula.
Tapi kenangan.
Kadang-kadang aku rindu Ramadan yang sederhana tu.
Rindu jadi budak yang pegang RM1 kuat-kuat dalam genggaman.
Takut hilang.
Takut membebankan.
RM1 itu kecil.
Tapi Ramadhan itu besar maknanya.
Sebab dalam bulan itu, ada seorang anak kecil yang sedang belajar…
erti cukup demi seorang ibu....
Catat Ulasan