Cikgu Yani, Semangatnya sangat luar biasa...
Terkejut saya pagi ini apabila dimaklumkan bahawa Kak Yani telah kembali ke rahmatullah.
Terasa begitu singkat pertemuan di alam maya yang bermula pada tahun 2020 kami bersama-sama dengan rakan guru yang lain bertungkus lumus menguasai ilmu penerbitan video sehingga mampu bersiaran secara langsung sendirian sehingga kini.
Seorang guru yang sangat berdedikasi, bersemangat jalankan kerja-kerja sukarela khususnya dalam membimbing rakan guru seluruh Malaysia dengan memegang jawatan sebagai Ketua Panitia Sains SPM di Akademi Youtuber.
Biar pun pelajar yang mengikuti kelas tidak lagi semeriah sewaktu tempoh PdPR yang lalu, namun masih diteruskan sehingga kini bersama rakan-rakan guru yang lain. Apa yang sering saya katakan, ilmu yang kita ada akan kekal dimanfaatkan walaupun kita telah meninggal dunia satu hari nanti.
Pesanan ini yang dipegang oleh setiap #AdikBeradikAYU kerana kita kena kuat, jangan jadikan jumlah views sebagai pembakar semangat sebaliknya selagi ada yang memanfaatkan apa yang kita terbitkan, selagi itu ada pahala yang mengalir untuk kita.
Semoga apa yang telah kita terbitkan terus memberi manfaat kepada semua anak murid di mana jua mereka berada.
Buat keluarga Cikgu Yani, semoga bersabar dengan ketentuan ini, Allah lebih menyayanginya. Buat anak-anak Cikgu Yani, terus berbangga kerana memiliki seorang ibu yang sangat gigih dalam menuntut ilmu, sangat bertenaga menyumbang bakti kepada dunia pendidikan di Malaysia. Ibu anda seorang yang hebat! teruskan apa yang sedia ada supaya pahalanya terus mengalir selagi ada insan yang menonton video-video terbitan ibu kalian.
Kami di Akademi Youtuber turut merasai kehilangannya sepertimana kami yakin warga pendidikan daerah Bintulu juga pasti merasakan kehilangan sebutir permata dari daerah tersebut. Tapi apa kan daya, kita kena redha dengan ketentuan Ilahi.
Terima kasih Cikgu Yani, Akademi Youtuber tidak dapat sampai ke tahap ini tanpa bantuan kerja-kerja sukarela yang hebat macam Cikgu Yani dan rakan-rakan Ketua Panitia yang lain. Allah pinjamkan kepada kami insan hebat yang terbukti semangatnya yang luar biasa.
Semoga Cikgu Yani ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh. Kenangan kita semua menuntut ilmu di Akademi Youtuber tidak pernah akan terpadam dalam lipatan sejarah. Amin.
Catat Ulasan