Siapa Cikgu Putera ( Cikgu Mohd Rohimin Bin Zamri ) ?

Siapa Cikgu Putera ( Cikgu Mohd Rohimin Bin Zamri ) ?




Assalamualaikum w.b.t dan Salam mesra!

@naura1103 #CapCut Al-Fatihah buat sahabat AYU, Cikgu Mohd Rohimin bin Zamri, Cikgu Putera yang telah kembali ke rahmatullah pada 6.23 pagi tadi. Semoga jasa bakti serta ilmu yang pernah arwah curahkan akan menjadi amalan jariah arwah. #tiktokguru #akademiyoutuber #adikberadikayu #alfatihahbuatmu ♬ Yasir Lana - arief akdw





Pagi ini dikejutkan dengan perkhabaran duka kembalinya ke rahmatullah seorang sahabat saya Cikgu Putera pada jam 6.23 minit pagi tadi. 

Wajib saya menulis di sini untuk dijadikan satu memori penghargaan peribadi saya terhadap Arwah, ahli keluarga, para pelajar serta guru-guru seluruh negara.


"Setiap video PDPC ahli AYU, ada jasa dan keringat Cikgu Putera. " 


AKADEMI YOUTUBER MALAYSIA
Tanggal 18 Jun 2020 permulaan saya berkenalan dengan Cikgu Putera yang mengikuti 'PROJEK MAYA' saya bersama rakan-rakan dari Kelab Guru Malaysia dan eDidik Malaysia. Misi kami sangat jelas, melahirkan seberapa ramai Youtuber yang mampu terbitkan konten pendidikan untuk Malaysia. 

Bagaimana sebuah organisasi TANPA TAJAAN mana-mana pihak, bermodalkan RM0.00 mampu bertapak tanpa insan-insan hebat seperti Cikgu Putera?. Kami tiada dana, tapi semangat sukarelawan kami jangan ada sesiapa yang cuba untuk memadamnya. 

SEMANGAT SUKARELAWAN ARWAH SANGAT LUAR BIASA
Sangat tidak adil jika dikatakan sesuatu kejayaan itu milik hanya seseorang sebaliknya di sebalik kejayaan tersebut sebenarnya ada kehadiran insan-insan hebat seperti Cikgu Putera. Membentuk kumpulan Ketua Panitia bermula Prasekolah hingga Matrikulasi bukanlah satu usaha yang mudah dan saya tidak mampu lakukan secara sendirian. Cikgu Putera memikul tangungjawab mengurus dan menyusun atur kedudukan Ketua Panitia dan pemetaan konten-konten pendidikan yang digunakan oleh guru-guru seluruh negara sepanjang tempoh PDPR yang lalu. 

Cikgu Putera tidak sahaja mengajar muridnya di sekolah, namun turut mengajar murid-murid seluruh negara secara dalam talian selain menjalankan pelbagai aktiviti segmen khas. Diantara sumbangan yang paling besar adalah menjadi Pengurus Ketua Panitia AYU bertanggungjawab memastikan setiap SOP dipatuhi dan menyumbang khidmat bakti yang cemerlang. 

ADA JASA ARWAH DALAM SETIAP 24,000 VIDEO PDPC YANG TERSEMAT DI DALAM APLIKASI AKADEMI YOUTUBER
Tidak sekadar menguruskan Ketua Panitia, Cikgu Putera juga aktif melakukan perkongsian sebagai 'Presenter' untuk guru-guru yang mengikut webinar untuk menjadi Youtuber Pendidikan. Tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa setiap video pendidikan yang terbit selepas 2 julai 2020 oleh para Youtuber AYU terdapat bahagian sumbangan beliau di dalamnya. Begitu besar sumbangan Cikgu Putera untuk dunia pendidikan yang dicintai. 

BERSEMANGAT TINGGI, CAKNA, DAN TEGAS MELAKSANAKAN TUGAS
Sepanjang berurusan dengan Cikgu Putera, sifat-sifat ini tersemat rapi di dalam dirinya. Walaupun berkhidmat secara sukarela di AYU namun segalanya dilaksanakan secara bersungguh-sungguh untuk memastikan setiap insan yang terlibat dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik berdasarkan tempoh yang ditetapkan. Diantara youtuber yang banyak berurusan dengan Cikgu Putera adalam para Ketua Panitia AYU. Tanpa ketegasan beliau, belum tentu kelancaran perjalanan yang ada sekarang dapat dinikmati. 

APA YANG DIUNGKAP, KINI DINIKMATI
Dalam AYU selalu diungkapkan, apa yang kita buat bukan semata untuk di dunia, tapi sebagai bekalan kita di alam sana. Ternyata ungkapan itu akan dinikmati terlebih dahulu oleh sahabat kita Cikgu Putera. Menerbitkan video pendidikan tidak mudah dan juga tidak meriah dari aspek views dan lain-lain. Kepuasan yang sebenar adalah sejauh mana kita mampu berkarya dan walaupun tidak ramai menonton, tetap ada yang mendapat manfaat daripadanya sudah memadai kerana ianya berterusan. Kekuatan kita bukan datang dari habuan dunia, tapi bekalan pahala yang mengalir secara berterusan. 

KETENANGAN BUAT CIKGU PUTERA
Berakhir segala kesakitan di dunia yang ditanggung selama ini berlalu pergi seiring dengan keredhaan kami #AdikBeradikAYU yang merasakan satu kehilangan besar buat organisasi Akademi Youtuber Malaysia. Kami pasrah kerana Allah s.w.t lebih menyayangi Cikgu Putera, kami masih terus memanfaatkan ilmu-ilmu yang pernah dikongsi, kata-kata pembakar semangat yang pernah dilontarkan, teknik-teknik penghasilan video pdpc yang pernah dikongsikan, semoga dengan terus memanfaatkan ilmu ini menjadi asbab ada bahagian Cikgu Putera yang sentiasa mengalir pahala dari semasa ke semasa. 

KEHILANGAN DARI PANDANGAN MATA, SEGALA JASA DAN SUMBANGAN KEKAL ADA
Walaupun selepas ini kami tidak lagi mendengar suara sahabat yang kami kasihi, tidak lagi teks membakar semangat kami, tiada lagi gurau senda, tidak lagi kami mampu melihat kelibat secara live mahupun rakaman, tapi segala jasa dan sumbangan Cikgu Putera terus tersemat dalam ingatan kami, segala ilmu terus kami manfaatkan untuk selamanya. Semangat Cikgu Putera terus kekal ada bersama kami di Akademi Youtuber Malaysia. Tidak pernah akan hilang. 

"Khidmat sukarela Cikgu Putera sememangnya tidak dapat dibayar dengan wang ringgit, khususnya khidmat beliau dalam pembangunan kemahiran guru-guru menjadi Youtuber Pendidikan di Malaysia. Semoga segala amal baik yang dilakukan ini menjadi asbab aliran pahala yang tidak berhenti dan arwah ditempatkan ke dalam Syurga Allah, amin."


Sebenarnya terlalu banyak yang saya ingin bercakap tentang insan hebat yang dikenali sebagai Cikgu Rohimin yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Putera. 

Jadi saya simpulkan keseluruhannya kepada tiga patah perkataan utama iaitu, komited & tegas , sangat merendah diri dan ringan tulang.

KOMITED & TEGAS

Mengulas tentang isu komited, saya ingin membawa semua penonton yang hadir pada malam ini untuk kita kembali ke tahun 2020 di mana saya dan rakan-rakan bermula membentuk komuniti pencipta konten pendidikan. Di saat itu keadaan sangat memerlukan di mana semua anak-anak murid kita perlukan bahan sokongan dalam bentuk video. Jujur saya kata saya tidak ada apa-apa yang menarik untuk ditawarkan sebagai balasan kepada 20 guru hebat menjadi tunjang utama berdiri teguhnya akademi youtuber sehingga ke hari ini. Salah seorang daripadanya, Cikgu Putera. 

selalu saya ungkapkan, habuan dunia hanya sementara, habuan akhirat itu lebih manis sebenarnya kerana apa yang kita terbitkan dimanfaatkan pelajar seluruh negara cuba bayangkan hanya satu video diterbitkan mendapat tontonan ribuan pelajar berbanding sebelum hanya beberapa puluh orang pelajar mendapat ilmu yang kita kongsikan di sekolah. Mereka bersetuju untuk bersama saya, dan alhamdulillah sehingga kini semua orang boleh melihat, apa yang dihasilkan oleh youtuber pendidikan di Malaysia. Bukan views yang kami pertaruhkan, tetapi ilmu yang tersedia sentiasa di saat para pelajar memerlukan itu lebih penting dari segalanya.

SANGAT MERENDAH DIRI

Cikgu putera sentiasa memulakan bicara dengan minta maaf, walaupun hanya dengan bersuara kita sudah boleh rasa ibarat seorang anak murid yang lalu di depan lalu berkata-kata sambil menundukkan badan. Saya sangat mencemburui keperibadian arwah. Ini adalah satu sifat mulia yang digambarkan oleh arwah. Saya bukan sesiapa, hanya guru biasa tetapi cara berkomunikasi mengikut struktur dalam organisasi seolah-olah mereka ini dibayar untuk melatih guru-guru Malaysia pandai buat video. 

RINGAN TULANG

Tiada had waktu, waima jam 3 pagi pun ada yang menjawab soalan. Luar biasa ini yang menyebabkan kami sangat terasa kehilangan yang besar untuk dunia pendidikan negara. Penuh di group graduan AYU screenshot2 perbualan dengan Cikgu Putera kebanyakkannya dari aspek permentoran, simpan baik dalam lipatan sejarah kita untuk kenangan yang takkan pernah dilupa sampai bila2.

bila merujuk semula perbualan saya dengan arwah, bagi saya cikgu putera insan istimewa di mana dia seakan-akan tahu tentang kehidupannya.Berdasarkan pengalaman dengan insan-insan yang telah mendahului kita, ada satu persamaan untuk mereka yang ingin mendahului kita diantaranya tindakan untuk menjarakkan sedikit diri daripada kita untuk menjadikan pemergian mereka tidak terlalu perit untuk kita tanggung.. saya dapat rasakan perkara ini. Namun hakikatnya, kami di Akademi Youtuber amat terasa dengan kehilangan ini. 

Akhir kata, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir, ahli akademi youtuber yang memberi sumbangan kepada keluarga arwah, para penonton sahabat handai seterusnya ahli keluarga arwah itu sendiri. Walaupun arwah mendahului kita, tetapi segala jasa dan khidmat baktinya dalam dunia pendidikan di Malaysia terus menyala sampai bila-bila. Selagi ada video pendidikan yang diterbitkan, di situ ada jasa seorang presenter, mentor dan pengurus ketua panitia yang bernama Mohd Rohimin Bin Zamri. 

Salam rindu, kasih dan sayang istimewa untuk sahabat yang sangat-sangat dikasihi.. semoga ditempatkan di syurga bersama orang-orang beriman. Amin. 

Sebak, Sayang dan rindu buat Cikgu Putera, 
.....innalillahwainnalillahirojiun.

MUHAMMAD SUFFI BIN YUSOF
Youtuber Manager
Akademi Youtuber Malaysia




Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

4 Ulasan

  1. Ketegasan , komited,, kerendahan hati, suka membantu tanpa mengira waktu dan senda gurau beliau akan tetap dikenang selagi hayat dikandung badan.

    BalasPadam
  2. A good and humble person. Very sad. May he rest in peace.

    BalasPadam
  3. Sumbangan, budi & jasa cikgu Putera dalam AYU & dunia pendidikan terus mengalir sebagai amal jariah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..

    BalasPadam
  4. Rest in peace Cikgu Putera. No more pain, no more misery.. You'll be remembered always in our heart ❤️

    BalasPadam
To Top