Berhenti Kejar AI Tools? Belajar Cara Berfikir.

Berhenti Kejar AI Tools? Belajar Cara Berfikir.

Assalamualaikum w.b.t dan Salam mesra!







Berhenti Kejar AI Tools? Belajar Cara Berfikir.

Setiap minggu muncul AI baharu.

Hari ini kita belajar satu.

Esok keluar satu lagi.

Minggu depan, yang kita baru belajar tadi mungkin sudah berubah.

Belum sempat mahir yang ini, orang dah cerita yang itu.

Belum sempat habis tengok tutorial, keluar pula versi baharu.

Akhirnya kita penat.

Sampai bila kita nak mengejar?

Saya rasa kita sedang masuk satu fasa baharu dalam dunia AI.

Bukan lagi tentang siapa paling banyak tahu AI Tools.

Tetapi...

Siapa paling kreatif menggunakan apa sahaja tools yang ada untuk menyelesaikan masalah.

Sebab tools akan berubah.

Cara kita berfikir itulah yang akan kekal.

Dulu Kita Sibuk Kumpul Prompt

Masa AI generatif mula meletup, ramai antara kita sibuk mencari prompt.

"Share prompt."

"Ada prompt tak?"

"Boleh bagi prompt?"

Kemudian muncul pula koleksi:

100 Prompt Untuk Guru.

50 Prompt ChatGPT.

Prompt Rahsia Hasilkan Gambar.

Prompt Power Untuk Buat RPH.

Tidak salah.

Prompt memang membantu.

Saya sendiri gunakan prompt hampir setiap hari.

Tetapi semakin lama menggunakan AI, saya sedar satu perkara.

Prompt yang hebat tidak semestinya menghasilkan sesuatu yang hebat kalau idea kita biasa-biasa.

Bayangkan saya berikan prompt yang sama kepada 100 orang.

Mungkin 100 orang itu boleh menghasilkan output yang hampir sama.

Tetapi kalau saya berikan satu MASALAH kepada 100 orang...

Saya mungkin dapat 100 cara penyelesaian yang berbeza.

Di situlah nilainya.

Bukan pada prompt semata-mata.

Tetapi pada cara kita berfikir.

AI Tidak Kekurangan Jawapan

Hari ini kita sebenarnya sudah sampai ke satu tahap di mana AI boleh membantu melakukan macam-macam perkara.

Nak tulis?

Boleh.

Nak buat gambar?

Boleh.

Nak hasilkan video?

Boleh.

Nak bina aplikasi?

Boleh.

Nak analisis data?

Boleh.

Nak cari idea?

Pun boleh.

Persoalannya sekarang bukan lagi,

"AI boleh buat apa?"

Tetapi...

"Apa yang kita nak buat dengan AI?"

Itu dua soalan yang sangat berbeza.

Soalan pertama bergantung kepada teknologi.

Soalan kedua bergantung kepada manusia.

Sebab Itu Saya Suka Bermula Dengan Masalah

Bila saya bina sesuatu, saya jarang bermula dengan soalan:

"Aplikasi apa yang tengah trending sekarang?"

Saya lebih suka melihat masalah di depan mata.

Contohnya...

Guru penat menyediakan laporan.

Ada masalah.

Bagaimana nak mudahkan?

Guru susah mengurus tempahan bilik.

Ada masalah.

Bagaimana nak mudahkan?

Penganjur pertandingan pening nak kumpulkan penyertaan, susun bahan dan urus penjurian.

Ada masalah.

Bagaimana nak mudahkan?

Bila cara fikir kita bermula dengan masalah, AI menjadi alat.

Bukan matlamat.

Dan kadang-kadang daripada masalah kecil itulah lahir idea yang lebih besar.

MyOPR.

RuangPro360.

SisJuri360.

Dan pelbagai lagi eksperimen yang saya cuba bina.

Bukan semuanya bermula kerana saya tahu caranya.

Sebahagiannya bermula dengan ayat yang sangat mudah:

"Kalau benda ni boleh dibuat lebih mudah, kan bagus?"

Kemudian barulah kita cari jalan.

Kita Tak Perlu Tahu Semuanya

Ini satu lagi perkara yang saya belajar.

Dalam zaman AI, kita tak perlu tahu semuanya sebelum mula.

Dulu mungkin kita fikir:

Nak buat aplikasi kena pandai coding.

Nak buat animasi kena pandai animation.

Nak buat grafik kena pandai Photoshop.

Nak bina website kena belajar programming.

Hari ini sempadannya semakin kabur.

Orang yang tak pandai melukis boleh menghasilkan visual.

Orang yang tak pandai coding boleh mencuba membina aplikasi.

Orang yang tidak pernah menghasilkan animasi boleh menghidupkan watak.

Tetapi ada satu perkara AI masih perlukan daripada kita.

IDEA.

AI perlukan kita menentukan arah.

Kita yang melihat masalah.

Kita yang bertanya soalan.

Kita yang menghubungkan perkara yang orang lain mungkin tidak nampak.

Dan kita yang menentukan sama ada hasil itu benar-benar berguna ataupun sekadar nampak cantik.

Jangan Jadi Pengumpul AI Tools

Kadang-kadang kita simpan terlalu banyak.

Yang ini bookmark.

Yang itu save.

Yang sana screenshot.

Masuk satu bengkel, dapat 20 tools.

Masuk bengkel lain, tambah lagi 30.

Akhirnya ada 50 AI Tools...

Tapi satu pun kita tak gunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar.

Mungkin selepas ini kita kena ubah sedikit cara belajar.

Daripada:

"Hari ini saya nak belajar AI apa?"

kepada:

"Hari ini saya nak selesaikan masalah apa?"

Nampak macam beza satu ayat sahaja.

Tetapi cara berfikirnya sangat berbeza.

Tools Akan Datang Dan Pergi

Hari ini sesuatu aplikasi mungkin hebat.

Esok muncul pesaing.

Lusa keluar teknologi baharu.

Tahun depan mungkin cara kita menggunakan komputer pun sudah berbeza.

Kalau kita hanya belajar menekan butang, setiap kali butang berubah kita perlu belajar semula.

Tetapi kalau kita belajar cara berfikir, apa sahaja tools yang muncul kita boleh gunakan.

Sebab itu saya rasa kemahiran paling mahal dalam zaman AI nanti bukan sekadar menulis prompt.

Bukan juga siapa hafal paling banyak nama aplikasi.

Tetapi...

siapa yang boleh melihat masalah yang orang lain anggap biasa, kemudian terfikir cara yang lebih baik untuk menyelesaikannya.

AI mungkin mempercepatkan kerja.

Tetapi manusialah yang menentukan kerja apa yang patut dibuat.

AI boleh memberikan jawapan.

Tetapi manusialah yang perlu belajar memberikan soalan yang betul.

Jadi selepas ini...

Tak perlu terlalu risau kalau kita tertinggal satu AI Tools.

Tak perlu rasa rendah diri bila orang lain dah cuba aplikasi yang kita tak pernah dengar.

Belajar satu.

Gunakan betul-betul.

Eksperimen.

Gabungkan dengan pengalaman kita sendiri.

Dan yang paling penting...

BERHENTI SEKADAR MENGUMPUL PROMPT.

Mula kumpulkan masalah.

Kemudian fikirkan bagaimana teknologi boleh membantu kita menyelesaikannya.

Sebab akhirnya...

Bukan siapa paling pandai menggunakan AI yang akan pergi paling jauh.

Tetapi siapa yang paling kreatif berfikir tentang apa yang boleh dilakukan dengannya.

Tools boleh berubah.

Prompt boleh berubah.

AI boleh berubah.

Tetapi manusia yang sentiasa mahu berfikir, mencuba dan mencipta... akan sentiasa ada sesuatu untuk dibina.

Terus Menyala! 🔥

Cikgu Suffi
www.cikgusuffi.com

#AkademiYoutuberMalaysia #PERCUMA #AdikBeradikAYU #KitaBantuKita #CikguSuffi #EduFluencersKPM #TerusMenyala #KitaTerusMara

BACA JUGA :

🔴 Siaran langsung temu bual Selamat Pagi Malaysia, RTM bersama Cikgu Suffi dan Cikgu Zuly

🔴 Siri Perkongsian Ilmu Blogger bersama Cikgu Suffi dan rakan-rakan

🔴 Youtuber Pendidikan mengorak langkah membuka tirai tahun 2023

🔴 Jom sertai kami! Panggilan untuk semua penyedia konten pendidikan di Malaysia.




Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Catat Ulasan

To Top
Join Our Group