Perak Ungguli Penganjuran Festival Digital Lensa (FesDLa), Cetus Fenomena Dunia Penyiaran Sekolah
Perak Ungguli Penganjuran Festival Digital Lensa (FesDLa), Cetus Fenomena Dunia Penyiaran Sekolah
Perak sekali lagi mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan Festival Digital Lensa (FesDLa) — sebuah inisiatif inovatif yang mengangkat potensi murid dalam dunia penyiaran sejak dari bangku sekolah. Penganjuran edisi kedua ini membuktikan komitmen tinggi Jabatan Pendidikan Negeri Perak, khususnya melalui Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP JPN Perak), dalam melahirkan generasi celik media dan kreatif.
FesDLa bukan sahaja menjadi platform untuk menggilap bakat dalam bidang penyiaran dan penghasilan kandungan digital, malah turut menjadi ruang untuk menghargai jasa para guru yang sabar membimbing anak-anak didik memahami dunia penyiaran yang semakin berkembang pesat. Festival ini secara tidak langsung mengukuhkan jalinan hubungan antara warga sekolah, masyarakat setempat, para pemimpin, serta pemegang taruh dalam dunia pendidikan.
Menariknya, FesDLa turut menonjolkan lokasi-lokasi menarik sekitar negeri Perak, sekali gus menyumbang kepada usaha mempromosikan negeri ini dari sudut pelancongan pendidikan dan warisan tempatan.
Penganjuran tahun ini lebih meriah dengan penyertaan pelbagai pihak dari peringkat sekolah sehingga ke Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk kehadiran Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) serta Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia yang memberikan suntikan semangat kepada semua peserta dan pendidik.
Festival ini menjadi pentas kemenjadian murid, di mana hasil karya dan kreativiti mereka dinilai melalui pelbagai kategori menarik seperti Poster Terbaik, Suara Latar Terbaik, Idea Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, dan Video Terbaik.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang, pihak penganjur serta seluruh warga pendidik yang telah berganding bahu menjadikan majlis berprestij ini berlangsung dengan penuh gemilang. Semoga FesDLa terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai murid berwibawa dalam bidang penyiaran digital di masa hadapan.
Catat Ulasan