Pencapaian Emas Inovasi MuFaDi oleh Pearl Animation Team SK Pangkalan TLDM dalam ICTE24
Pencapaian Emas Inovasi MuFaDi oleh Pearl Animation Team SK Pangkalan TLDM dalam ICTE24
Alhamdulillah, Inovasi MuFaDi (Murid Fasih Digital) yang dihasilkan oleh Pearl Animation Team dari SK Pangkalan TLDM, Lumut, Perak telah berjaya meraih pingat emas dalam 2024 International Conference on Teacher Education - Innovation Awards. Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah tetapi juga mencerminkan potensi murid-murid dalam bidang inovasi dan teknologi pendidikan.
Inovasi MuFaDi dianggotai oleh tiga murid cemerlang : Muhammad Azfar Hafiy Bin Muhamad Zuhdi, Dhia Nur Arissa Binti Muhammad Asrie, dan Nur Afni Assyifa Izzara, semua dari kelas 6 Mutiara. Mereka telah menunjukkan dedikasi dan kreativiti yang tinggi dalam membangunkan projek ini dengan bimbingan Cikgu Muhammad Suffi. Projek ini turut mendapat sokongan daripada Dr. Hamidah Binti Mat, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Inovasi dan Kualiti, Institut Aminuddin Baki, yang berperanan sebagai panel penasihat.
Pertandingan ini merupakan satu platform yang menyaksikan penyertaan 599 projek daripada 3,106 peserta yang datang dari lima negara, termasuk China, Filipina, Singapura, Thailand, dan Malaysia. Dengan persaingan yang begitu sengit, kejayaan meraih pingat emas adalah suatu pencapaian yang sangat membanggakan. Dalam pertandingan ini, sebanyak 4 Diamond Awards, 10 Special Awards, 20 Top 5 Awards, serta 300 pingat dalam pelbagai kategori telah dipertandingkan.
Kejayaan Inovasi MuFaDi bukan sahaja hasil usaha murid-murid, tetapi juga kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak. Jutaan terima kasih diucapkan kepada barisan pentadbir SK Pangkalan TLDM, Unit Sumber Teknologi Pendidikan PPD Manjung, Sektor Pembelajaran serta Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, dan Institut Aminuddin Baki. Sokongan dan bimbingan mereka telah memainkan peranan penting dalam proses pembangunan dan perasmian inovasi ini.
Dengan pencapaian ini, diharapkan akan ada lebih banyak inovasi yang bakal dihasilkan oleh murid-murid di masa hadapan. Semoga kejayaan ini menjadi pembuka tirai kepada lebih banyak projek kreatif dan inovatif yang dapat membantu meningkatkan kemahiran digital murid-murid serta memajukan pendidikan di negara kita. Inovasi MuFaDi adalah contoh jelas bagaimana pelajar muda dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam konteks yang relevan dan bermanfaat untuk masyarakat.
Catat Ulasan