Content Creator bermula dari IPG? Pendidikan Digital di Malaysia dijangka lebih meriah

Content Creator bermula dari IPG? Pendidikan Digital di Malaysia dijangka lebih meriah


Alhamdulillah hari ini diberi ruang dan peluang untuk berkongsi tentang Akademi Youtuber dengan adik-adik yang bakal bergelar guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman. 



Tidak dinafikan untuk menjadi Youtuber Pendidikan memerlukan komitmen yang agak tinggi khususnya dalam proses menguasai kemahiran menyunting video dan menguruskan channel di Youtube. Peruntukkan masa yang ada untuk seorang guru yang sudah masuk ke alam pekerjaan agak terhad kerana sibuk menguruskan tugas hakiki di sekolah.



Mendalami ilmu untuk menjadi seorang Youtuber Pendidikan bermula dari IPG adalah masa yang paling sesuai bagi yang belum bermula. Masih berada dalam persekitaran menuntut ilmu dan dikelilingi rakan taulan membolehkan proses pembelajaran menjadi lebih pantas. Hal ini dipermudahkan lagi apabila terdapat juga ahli-ahli AYU yang terdiri dari kalangan para pensyarah di IPG. Oleh yang demikian segala ruang dan peluang yang tersedia sangat rugi seandainya tidak dimanfaatkan. 



Perkongsian pada kali ini memberi gambaran berkaitan perjalanan seorang Content Creator bersama Akademi Youtuber. Bagaimana sekumpulan guru menjalinkan kerjasama melatih dan membimbing rakan-rakan guru seluruh negara secara PERCUMA. 



Semoga inisiatif demi inisiatif ini berterusan melahirkan lebih ramai Content Creator dari kalangan para pendidik di Malaysia. Jom tonton siaran ulangan sesi perkongsian yang telah berlangsung sebentar tadi. 




Jutaan terima kasih diucapkan kepada Dr. Hjh. Azizah binti Sarkowi, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan, IPG Kampus Darul Aman yang pada hemat saya sangat memandang jauh ke hadapan untuk merealisasikan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya untuk teras ketujuh iaitu meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan. Segalanya bermula daripada guru, andai diberi pendedahan awal sejak di peringkat IPG kita pasti akan dapat melihat perubahan drastik apabila para penuntut memasuki alam pekerjaan berbekalkan kemahiran penggunaan teknologi terkini dan karya asli terbitan mereka sendiri.


IPG Kampus Darul Aman menjadi IPG pertama yang menerima pendedahan secara langsung berkaitan inisiatif Akademi Youtuber Malaysia melatih guru-guru mendepani cabaran dunia pendidikan digital di Malaysia. Semoga lebih banyak IPG di seluruh negara membuka ruang dan peluang untuk bakal-bakal guru menimba ilmu sebagai pencipta kandungan digital atau Youtuber Pendidikan. Kami di Akademi Youtuber sedia menjalinkan kerjasama untuk merealisasikan hala tuju Kementerian Pendidikan  Malaysia. 




Tahniah warga IPG-KDA, Terima kasih, Salam Hormat
Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Catat Ulasan

To Top