Terima kasih Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi) di atas ruang dan peluang yang diberikan.

Terima kasih Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi) di atas ruang dan peluang yang diberikan.


Assalamualaikum w.b.t dan Salam mesra


Alhamdulillah hari ini mendapat ruang dan peluang berkongsi kisah berkaitan Akademi Youtuber dengan Pn. Hani Hamid dan seluruh warga Malaysia melalui satu slot perkongsian bersama Selamat Pagi Malaysia ( Nadi Seri Pagi ). 


Di sini saya berpeluang menceritakan bagaimana permulaan tercetus idea untuk menubuhkan Akademi Youtuber pada 2 julai 2020 yang lalu. Modul Google Classroom menjadi modul pertama yang dihasilkan dengan kerjasama Kelab Guru Malaysia (Facebook) dan eDidik Malaysia pada ketika itu telah berjaya menghimpunkan 9 orang guru pencetus kepada lengkapnya 213 video tutorial berkaitan Google Classroom. Hasil daripada usaha gigih ini telah berjaya dimanfaatkan lebih 23,000 orang guru di Malaysia. Menjadi satu fenomena ketika itu sehingga menarik perhatian Marc Woo (Country Head Google Malaysia) menyentuh tentang 'Fenomena Indah' ini di dalam ucapannya.


Ramai guru telah mahir menggunakan Google Classroom namun guru-guru mendapati dalam sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan secara dalam talian tidak lengkap tanpa video, maka sesi tersebut perlu nilai tambah tersebut untuk keperluan para pelajar. Oleh yang demikian, menyedari momentum keupayaan rakan-rakan guru pada ketika itu memiliki semangat yang membuak-buak untuk mengetahui dan mempelajari sesuatu yang baharu khususnya berkaitan penerbitan video dan pengendalian channel di pelantar Youtube. Pada 2 Julai 2020 lahirlah Akademi Youtuber dengan prinsip "Sendirian kita biasa, bersama menjadi luar biasa" bergema di alam maya. 


Sesungguhnya sebuah komuniti positif yang dibangunkan pada awalnya mungkin kelihatan agak biasa namun berdepan dengan pandemik covid-19 segalanya berubah menjadi luar biasa apabila khidmat rakan-rakan guru menerbitkan video pembelajaran dan pemudahcaraan untuk kegunaan para pelajar mendapat sambutan yang sangat hebat. Rata-rata youtuber mendapat penghargaan daripada rakan-rakan guru kerana keupayaan ini sangat diperlukan di saat negara berhadapan dengan situasi yang tidak mengizinkan guru dan pelajar ke sekolah. Pendidikan secara dalam talian dijalankan dengan penggunaan kelengkapan pelbagai media tersedia. 

Hasil kesungguhan ini diterjemahkan dalam bentuk kuantiti video yang diterbitkan ke pelantar youtube sehingga hari ini mencecah 25,000 video dengan kekuatan 1,200 Youtuber Akademi Youtuber Malaysia. Selain daripada itu, sehingga kini 6,350 siri tuisyen secara percuma telah berjaya dijalankan dengan kerjasama para youtuber pendidikan, badan bukan kerajaan dan universiti tempatan. 

Kemenjadian guru sangat jelas apabila pada masa sekarang kita melihat guru-guru hebat telah berjaya menguasai pelbagai kemahiran berkaitan penyuntingan dan penerbitan video, penyuntingan grafik, penggunaan aplikasi pendidikan yang pelbagai dan yang paling menarik dan teknikal mereka kini mampu mengendalikan penstriman langsung secara berkumpulan mahupun bersendirian. 


Pengiktirafan demi pengiktirafan untuk kerja buat guru-guru dalam dunia pendidikan digital dari kalangan ahli-ahli Akademi Youtuber juga sentiasa menjadi buah mulut hasil usaha mereka mendalami ilmu berkaitan penerbitan video dan penghasilan konten pendidikan di alam maya. Keseluruhannya di Akademi Youtuber, kami memiliki ahli-ahli yang terdiri daripada Guru Inspirasi Mc Donald's seramai 4 orang, 18 orang ahli telah diiktiraf sebagai Edufluencer Kementerian Pendidikan Malaysia10 Orang guru menjuarai anugerah Cikgu Juara Digital, 16 orang guru berjaya mendapat tempat dalam pertandingan guru ikon peringkat daerah dan negeri. Kepelbagaian latar belakang para ahli menjadikan komuniti positif ini luar biasa kerana kami terdiri daripada guru prasekolah hingga ke matrikulasi. Terdapat juga ahli yang berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, dan Institut Pendidikan Guru. Oleh yang demikian tidak mengejutkan bagaimana inisiatif yang kami lakukan sehingga kini telah berjaya merangkul 9 pingat emas untuk pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penerbitan artikel dalam jurnal juga satu perkara yang luar biasa kini dilakukan oleh guru biasa, hasilnya artikel pertama telah berjaya diterbitkan dalam Malaysia Journal of Invention and Innovation 


Untuk tahun 2023, masa yang paling sesuai untuk para youtuber pendidikan dan rakan-rakan guru bukan youtuber untuk melangkah seterusnya dengan mendalami asas pengurusan blogger untuk karya yang lebih hebat selepas ini. Blogger dipilih sebagai pelantar pembelajaran untuk memahirkan guru-guru menguasai kemahiran asas pengurusan sesuatu pelantar perkongsian. Kemahiran ini mampu membawa guru-guru pergi lebih jauh khususnya dalam dunia teknologi pendidikan digital. 

10 sesi perkongsian telah dirancang dan dilaksanakan pada awal tahun 2023 melalui perkongsian secara langsung di pelantar youtube. Semua guru dialu-alukan menyertai sesi perkongsian dan mengambil input daripadanya untuk menjadikan anda seorang blogger pendidikan yang hebat. Kejayaan ini boleh dikecapi dengan semangat saling membantu antara satu sama lain. Hasilnya di awal tahun 2023 kita telah berjaya mendaftarkan 68 nama domain baharu dan jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Kehebatan guru malaysia mengorak langkah!. 


Hari ini dalam sejarah kami berdua membawa kehebatan guru-guru Malaysia dalam dunia pendidikan digital untuk disebar luas dengan bantuan media massa. Semoga usaha ini mampu menarik minat lebih ramai guru-guru menyertai Akademi Youtuber seterusnya lebih banyak karya menarik dapat kita manfaatkan selepas ini. 


Terima kasih Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi) atas ruang dan peluang yang diberikan. 


Besar harapan kami guru-guru yang bersedia untuk menyumbang dalam pendidikan digital ini sekiranya segala usaha kami disambut baik seluruh pelajar, ibu bapa dan rakan-rakan guru sendiri dengan memanfaatkan setiap karya terbaik yang cuba kami ketengahkan. Selain daripada itu, sokongan daripada pihak pentadbiran juga kini telah diterjemahkan dengan kerjasama-kerjasama digital antara ahli-ahli AYU dengan pihak PPD, JPN dan KPM. Semoga kesediaan kami menjadi aset bernilai untuk kerajaan mengorak langkah dengan lebih agresif dalam dunia pendidikan digital di Malaysia. Peranan media massa juga sangat penting untuk membantu sebar luas kerja buat guru-guru dalam dunia pendidikan digital supaya karya yang dihasilkan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pelajar. Buat julung kalinya perkongsian di RTM akan menjadi pembuka tirai kerjasama erat guru-guru youtuber pendidikan dan blogger pendidikan dengan pihak media. 



Muhammad Suffi Yusof , 14/1/2023 @ Studio N1, Wisma Berita, RTM Angkasapuri, Kuala Lumpur










Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

2 Ulasan

To Top