Give Away! : 10 Tips Rahsia Sempena Channel YouTube Cikgu Suffi Capai 10,000 Subscribers!

Give Away! : 10 Tips Rahsia Sempena Channel YouTube Cikgu Suffi Capai 10,000 Subscribers!

Assalamualaikum w.b.t dan Salam mesra!


Alhamdulillah tanggal 6/5/2020 menyaksikan Channel Cikgu Suffi genap 10,000 Subscribers. Sesuatu yang di luar jangkaan kerana jika dibandingkan dengan tempoh masa untuk dapatkan 1,000 Subscribers sebelum ini memakan masa sehingga hampir 9 Tahun!

Buat masa ini jadual sangat padat dengan pelaksanaan Modul e-Pembelajaran : Penguasaan Google Classroom, walaupun yang demikian tidak menghalang untuk saya memberikan sedikit 'Give Away!' untuk pencapaian 10,000 Subscribers!. 

Subscribers Channel Youtube Cikgu Suffi terdiri daripada beberapa lapisan pengguna pelbagai peringkat umur (berdasarkan analytics) meliputi pelajar sekolah dan ibu bapa (NIMStudy), guru-guru (Modul e-Pembelajaran) dan juga peminat-peminat durian seluruh negara (Unboxing Durian). InsyaAllah saya akan berikan 'Give Away!' berdasarkan manfaat tiga kategori Subscriber seperti di atas. 

Untuk 'Give Away!' yang pertama, saya ingin kongsikan 'Jadi Youtubers Cara Cikgu Suffi' khusus untuk semua rakan-rakan guru dan juga pelajar yang ingin menjadi youtuber. 

PERTAMA

"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).

Untuk menjadi seorang youtuber, sangat penting untuk menerbitkan sesebuahvide dengan baik, sempurna dan berkualiti sekiranya mendapat ketelitian dari hasil kerja kita. Jangan pula terlalu takut untuk menerbitkan video yang tidak berkualiti kerana proses belajar itu melalui beberapa fasa termasuk fasa penerbitan video yang kurang berkualiti namun perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya kita tergolong dalam manusia yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik, sempurna dan teliti. Mengkhusus kepada 'Content Creator', baik, sempurna dan teliti ini boleh kita fikirkan sejenak apa kebaikkan yang cuba ingin kita kembangkan dan bermanfaat untuk penonton kita. Bukan sekadar hiburan namun ada input berguna yang lekat dan kekal menjadi amalan. 

KEDUA

Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
Muslim, Sahih Muslim bi sharh al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Kitab wasiyyah, jld. 11, hlm.87.

Jika seorang jutawan berhubung melalui sedekah jariahnya, para guru dengan ilmu yang dimanfaatkannya, para ibu bapa dengan anak-anak soleh. Jika YOUTUBER? dengan memilih kategori 'education' kita juga dapat berhubung dengan kategori ilmu yang dimanfaatkan, dengan menggunakan wang yang diperolehi daripada sumber youtube ke arah sedekah jariah sudah boleh menghubungkan kita dengan kategori sedekah jariah dan yang terakhir dengan mengajak subscribers sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka sudah pasti ada 'sedikit' tempiasnya untuk kita. Pilihan di tangan anda, pegang dan buat ini kelebihan youtuber yang boleh melastik 3 ekor burung hanya dengan seketul batu!

KETIGA


“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia”
HR. Ahmad

Berusaha untuk menjadi manusia yang baik dan bermanfaat bagi manusia lain adalah cita-cita setiap daripada kita. Untuk menjadi manusia yang baik tidak perlu kita tunggu sehingga berduit, keluar masuk universiti, berjawatan tinggi, berpengaruh dan sebagainya. Cukup kita bermula dengan tiada apa-apa yang akhirnya Allah akan hadirkan kita dengan sesuatu yang diluar jangka. Walaupun duduk di atas kerusi yang sama tinggi, berdiri atas tanah yang sama rata tapi rasa nikmat yang sangat berbeza. Ini yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, hanya dengan amalan yang ingin menjadi manusia baik lagi bermanfaat kepada manusia yang lain. 

Merujuk kepada Skop Youtuber, sering saya nasihat murid-murid yang meminta pendapat untuk menjadi Youtuber. Sekiranya inginkan kesejahteraan hidup, sajikan 'Content' yang berkonsep perkongsian 'Ilmu'. Setiap orang ada ilmu yang berbeza, ilmu itu milik Allah diberikan kepada kita supaya kita sebarkan untuk manfaat manusia yang lain. Berapa banyak ilmu-ilmu yang kini terkubur bersama-sama apabila kita meninggal dunia sedangkan ilmu tersebut boleh dimanfaatkan jika kita menyebarkannya dengan cara meluas. VIDEO! ya, videokan ilmu yang kita ada supaya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Balasannya kita harus YAKIN, setiap keikhlasan dan kejujuran itu bukan manusia yang menilainya. Allah adalah penilai kita, hati kita milikNya. Kita buat, kita akan dapat merasakannya. 

Oleh yang demikian, tetapkan pendirian kita dan istiqomah terbitkan video berdasarkan apa yang kita gariskan supaya matlamat Channel Youtube kita tidak sekadar untuk di dunia malah juga turut memberi saham di akhirat kelak. Kenapa mesti ambil satu sekiranya kita sebenarnya berpeluang untuk ambil semua? bertindak. 

KEEMPAT

Langkah ini baru kita masuk ke dalam bahagian teknikal setelah selesai bahagian tetapan kerohanian, setting utama sebelum masuk bab fizikal. 

1. Content
Mulakan dengan menerbitkan video 'zero cost' iaitu rutin kita yang juga boleh dilakukan oleh orang lain sekiranya mereka mendapat ilmu yang kita miliki. Contohnya teknik menanam tebu, jika kita seorang pekebun tidak semua orang di luar sana tahu menanam tebu. Kita konsikan video tersebut dan secara langsung berapa ramai yang akan mahir menanam tebu kemudiannya. 

Sangat mudah, rakamkan apa aktiviti harian kita yang boleh mendidik orang lain. Tidak perlu kita menjadi guru baru kita oleh mengajar, ilmu itu sangat luas dan boleh diperluaskan. 

Setelah berkemampuan baru mula berjinak-jinak dengan content yang memerlukan kos untuk membinanya seperti 'Unboxing Durian' yang memerlukan kos RM50-RM200 untuk sebuah video. Itu nilai yang perlu kita bayar untuk penerbitan video yang mempunyai kos. Sebagai permulaan, mulakan dengan content yang tidak perlukan modal. 

2. Setting
Semasa memuat naik video ke dalam youtube studio, memang banyak setting di sana. Cuba sedaya upaya untuk isikan maklumat untuk setiap setting. Ini yang dinamanakn ketelitian dan kesempurnaan yang perlu kita buat supaya video-video terbitan kita akan dapat liputan meluas di dalam pelantar youtube. 

3. Teknik Viral
Pelbagai kaedah untuk viralkan video di alam maya, ada percuma ada berbayar. Mulakan dengan yang percuma, namun jangan sampai membosankan. Kaedah pengiklanan yang membosankan seperti asyik post ke dalam group video-video anda berulang kali akan menimbulkan rasa menyampah dan tidak dapat 'get audience' dengan betul. Cukup sekadar sekali melainkan ada permintaan. 

Boleh juga berkongsi link dengan video-video seangkatan dengan tajuk yang kita gunakan. Lazimnya kaedah ini lebih kepada aktiviti 'bersosial' sesama youtuber yang mana kita saling berhubung dengan perkembangan video yang sama dalam satu arena. Sebagai contoh, video durian menghubungkan peminat durian dari beberapa buah negara seperti thailang, indonesia, brunei dan singapura.

Viral berbayar, anda boleh menggunakan 'Google Ads' yang membolehkan video anda tular ke semua rangkaian website google dan partner untuk adsense program. Kaedah ini khusus untuk anda yang mempunyai bajet pengiklanan. Siapkan video menarik, tetapkan kos pengiklanan RM10 sehari dan jana selama sebulan, anda tidak perlu buat apa-apa selain melihat statistik penonton video yang sentiasa meningkat hari ke hari. 

4. Peramah
Pastikan channel anda 'bertuan rumah' iaitu sentiasa meyapa pengunjung yang melontarkan komen dengan komen anda dan juga icon 'love'. 

Hal ini merepatkan anda dengan audience dan merasakan channel yang mereka kunjungi memiliki tuan yang 'masih hidup' secara amnya. Tindakan ini akan menyebabkan mereka 'Subscribe' untuk datang lagi. 

5. Buang Malu
Di saat ramai orang tak pernah malu tergedik-gedik depan kamera kenapa kira harus malu untuk hadir untuk berkongsi ilmu?. Buang malu untuk lakukan perkara baik insyaAllah akan ada pertolongan daripadaNya untuk berikan kita kekuatan dan keyakinan. Kita menggerak Allah mengizinkan, setiap perkara baik insyAllah ada pertolongan jika bukan dari makhluk terus daripadaNya. Kena yakin yang itu, Jadi buanglah rasa malu tersebut untuk perkara baik dan simpan untuk malu melakukan perkara yang tak baik. Jika tidak buat sekarang, kemahiran itu tidak akan hadir secara mengejut jika tidak diasah dari hari ke hari dengan konsisten melakukan penerbitan. 

6. Kerjasama dengan kawan-kawan
Sememangnya kita digalakkan untuk bekerjasama dengan rakan-rakan youtuber yang lain dalam penerbitan 'content' secara berjemaah di dalam satu Playlist. Sebagaimana yang saya lakukan dengan menjemput beberapa collaborators ke dalam Playlist GC Malaysia yang kini telah mencecah lebih 100 video berjaya dihasilkan. Hal ini menjadikan Playlist tersebut adalah Playlist Video Tutorial Google Classroom yang paling lengkap di Malaysia dalam bahasa Melayu. 

7. Upgrade hardware & software
Upgrade ini bukan melibatkan wang semata-mata, tapi juga kemahiran. Perlu tingkatkan kemahiran menggunakan beberapa software penting untuk kepuasan maksima seperti adobe photoshop untuk grafik, audacity untuk audio dan filmora/inshot untuk suntingan video (Aplikasi yang saya gunakan). Hanya dengan menguasai beberapa aplikasi ini kita dapat tingkatkan kualiti video yang diterbitkan. 

Untuk hardware, perlu penambahan microfon berkualiti yang memiliki 'gain' tinggi supaya suara jelas, begitu juga dengan web kamera beresolusi HD dan juga penggunaan 'Soft Box' untuk pencahayaan sempurna. Hanya dengan beberapa item yang di bawah RM500 ini kita dapat setup sebuah studio rakaman bagi menghasilkan video berkualiti. 

8. Jaga Kualiti
Kualiti... kualiti... kualiti... perlu dijaga dengan rapi, kualiti video, kualiti audio, kualiti channel. Bagaimana ingin menjaga kualiti channel?. Setiap channel akan diberikan 3 nyawa iaitu untuk copyright dan juga community guidline. Sekiranya 3 nyawa ini ditarik maka channel kita akan dipadam daripada youtube. Nyawa ini dipanggil 'Strike' di dalam youtube. Sekiranya kita memuat naik kandungan milik orang lain secara tidak sah, dan diadu oleh pemilik asal akan menyebabkan satu nyawa ditarik. Sekiranya masih mengulangi kesilapan yang sama sehingga 3 kali dikenakan 'Strike' maka ucapkanlah selamat tinggi kepada channel anda walaupun memiliki setuju subscribers semuanya akan hilang dalam sekelip mata.

9. Konsisten
Konsisten diantara kunci kejayaan yang boleh dipraktikkan iaitu dengan menerbitkan video secara berkala, sehari sekali, tiga hari sekali, seminggu sekali. Dengan bertindak secara konsisten dapat menarik perhatian pengunjung dan mereka akan melihat dari semasa ke semasa ibarat menonton drama bersiri di dalam siaran televisyen. Lakukan penerbitan secara konsisten, untuk itu ada kelebihan untuk muat naik aktiviti rutin bermanfaat yang kita lakukan setiap hari. Tiada kos untuk video dan boleh diterbitkan secara berkala mahupun kerap. 

10. Masa & Tanggungjawab
Membina kandungan dalam kategori 'Education' ini adalah aktiviti yang memerlukan komitmen di mana perlu menjawab persoalan yang diberikan pengunjung. Berlakunya pengajaran dan pembelajaran apabila adanya sesi soal jawab antara guru dan murid. Begitu juga di youtube, apabila kita memuat naik sesuatu video pasti akan ada soalan yang akan ditanya. Di sini satu komitmen penting iaitu menjawab soalan dalam masa terpantas yang kita mampu. Itu perbezaanya dengan video dari kategori lain yang tidak memerlukan anda menjawab dengan pantas atau merungkai persoalan yang diajukan oleh penonton. Jadi, untuk kategori education kita harus bersedia dari aspek masa untuk menjawab dan berkomunikasi dengan para penonton kerana itulah kita dapat lebih daripada satu iaitu dunia dan akhirat. InsyaAllah. 

AKHIR KATA

Jutaan terima kasih kepada semua subscribers, 1 sokongan anda bersamaan sejuta sokongan kepada saya. Terima kasih berikan sokongan,insyaAllah akan diperbaiki segala kelemahan yang ada semi mencapai 3 tunjang utama yang telah ditetapkan di awal bicara. Sokongan anda membakar semangat saya untuk berikan yang terbaik. Semoga peroleh manfaat daripada video-video yang saya dan rakan-rakan telah terbitkan. 

Semoga Allah s.w.t membalas kebaikkan dan keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan dengan nikmat kesihatan dan kemewahan dalam kehidupan. Amin.

Cikgu Suffi
7/5/2020
09:25AM




Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

8 Ulasan

  1. Terima kasih Sifu Suffi atas perkongsian yg banyak memberi manfaat.👍👌🎊🔥

    BalasPadam
  2. Thank you, Yu Suffi. There is a will, there's a way. Appreciate your effort!

    BalasPadam
  3. Tahniah cikgu.. n syukran atas tunjuk ajar..

    BalasPadam
  4. Terbaik Yu Suffi...
    Semoga dapat terus memberi khidmat dan dan nasihat serta memotivasikan para youtuber guru yang serba cetek ilmunya tapi ingin menyelami dunia Youtube yang amat luas. Terima kasih banyak cikgu.

    BalasPadam
  5. Terima kasih cikgu suffi. Banyak perkara yg saya belajar dari post ini. 👍

    BalasPadam
  6. Terima kasih @Suffi.Perkongsian yang sangat bermanfaat buat saya yang sangat-sangat merah yang baru sahaja "terjebat" ke arena Youtuber. Bukan mudah menongkah arus.Bukan mudah berlapang dada. Ilmu itu seluas lautan.Ambil peluang yang ada dengan rasa usaha tanpa jemu dan jalan terus. Terima kasih kerana berkongsi ilmu dan pengalaman yang sedikit sebanyak menyedarkan saya REALITI MANUSIA ALAM MAYA. Ketahuilah berbuat baik itu sangat mudah. Bertopengkan syaitan itu lagi mudah. Wallahualam.

    Ikhlas
    Simply being myself :-)

    BalasPadam
  7. Penulisan Cikgu YU.Suffi ini saya baca sepenuhnya. Cuba hadam betul-betul. Terima kasih atas perkongsian yang amat bermakna kepada saya sebagai peserta AYU. Terasa benar keikhlasan cikgu dalam mendidik. Semoga segala kerjabuat Cikgu Yu.Suffi Allah angkat sebagai amal jariah menjadi pahala berterusan.

    BalasPadam
To Top