Kerana sepinggan nasi dengan lauk ikan masin, keluarga ini sentiasa tersemat di dalam hati.

Kerana sepinggan nasi dengan lauk ikan masin, keluarga ini sentiasa tersemat di dalam hati.

Assalamualaikum w.b.t dan Salam mesra!



Hari ini cikgu nak berkongsi sedikit sebanyak kisah-kisah masa silam sebagai budak kampung dengan masyarakat kampung yang serba kekurangan.

Di atas bukit sana ada sebuah rumah di celah-celah pokok getah. Sebuah rumah kayu yang sentiasa bersih. Di dalamnya dihuni sepasang suami isteri dengan dua orang anak lelaki.

Di rumah kayu inilah menjadi tempat cikgu meluangkan masa pada waktu petang untuk bermain apa yang ada, permainan pada satu ketika dulu sangat terhad. Jika tidak bermain guli, kami mencari kulit getah membuat gasing, biji getah untuk congkak, paling tak ada main tuju selipar.

Suasana itu masih terngiang-ngiang di dalam fikiran. Guli ada gelanggangnya, begitu juga dengan tuju kasut.. semuanya tempat berbeza di rumah dikalangan kawan-kawan kampung. Jika ada lebihan wang boleh beli aiskrim malaysia 10 sen, patah dua dengan kawan baik.

Jika hari cuti, kadangkala tak sedar sudah sampai tengahari. Tak sempat balik, di sinilah kisahnya bermula. Di rumah kayu inilah pemiliknya akan menjamu anak-anaknya dan rakannya makan. Walaupun sepinggan nasi, ikan masin dan sayur. Nikmatnya ya Allah tidak boleh dibanding dengan chicken chop waima ketam lembut sekalipun!

Pada waktu malam, keluarga ini akan turun ke rumah jika ada cerita seronok di televisyen. Saat itu rasa sangat tenang, aman, seronok dan kadangkala sampai terlena diulit keseronokkan menikmati nikmat menonton tv bersama.

Mereka tidak berada, tapi mampu mencukupi...

Pada hari raya, penghuni rumah kayu ini sedaya upaya menyediakan juadah hari raya. Juadah yang mereka sediaoan bukan kuih muih, bukan ketupat lemang yang perlukan bajet tinggi, bukan makanan berlauk yang enak2, tapi hanya seketul pulut panggang sebesar peha! Yang dicubit sedikit sedikit oleh kami anak-anak kampung. Ibarat ibu bapa yang menyuap lebih 10 orang anak-anak kecil di rumah kayu dalam suasana redup pokok kayu mengelilinginya.

Di waktu tengahari, kami akan berjanji untuk bertemu di mana, program ini dipanggil 'Berkelah'. Bila sebut istilah ini ibu bapa kami sudah tahu. Bukan ke air terjun, bukan ke tepi pantai! Tapi di bawah pokok rambai, langsat, rambutan, cerun bukit yang mana redup dan berangin.

Setiap daripada kami akan membawa pinggan berisi lauk pauk dari masakan ibu masing2. Lazimnya membawa lebih, di sini lah kasih sayang sesama kami terjalin. Tidak semua dapat makan ayam, tidak semua dapat makan ikan, jadi dengan aktiviti ini kami saling melengkapi. Berkongsi apa juadah yang ada, sedar tak sedar semuanya licin dihabiskan.

Kehebatan keluarga ini yang mencukupi dunia kanak-kanak cikgu menyebabkan sehingga hari ini mereka sentiasa dalam ingatan. Dan kehilangan mereka sesuatu yang sangat-sangat menyentuh hati kerana mereka ibarat sebuah keluarga besar yang tiada pengganti.

Mereka tidak kaya harta benda, tapi berjiwa besar menjadikan anak-anak kampung begitu terkesan. Mereka adalah penduduk kampung batu 18, Serdang, Kedah.

Alfatihah :

1. Pakngah Hassan (Ayah Aban)
2. Pakcik Shaari (Ayah Aq)
3. Tokngah Pakjab (Tok Adam)
4. Tokngah Wan Pakjab (Wan Adam)
5. Mak Aji wali Muhammad (Mak Pakcik Tapa)
6. Tokchah Aban (Tok Aban)
7. Paktih Bauk (Ayah Hon)
8. Tok Melah
9. Toknah
10. Makcik Bedah (Tok Guru Mengaji)
11. Maksu Siah (Isteri Paksu Tat)
12. Paklang Bahari (Ayah Mat Ali)
13. Paklang Cha (Ayah Pekjon)
14. Isteri Paksu Mail (Maksu)
15. Pakcik Samad
16. Matleh Anak Pakcik Samad
17. Paklang E

.... Dan ramai lagi. Semuanya baik, melayan anak-anak kampung menyelami susah senang hidup di kampung. Berkongsi rezeki bersama, melayani karenah anak-anak ini sehingga besar menjadi insan berguna.

Terima kasih semua, penduduk kampung batu 18 semuanya segar dalam ingatan insyaAllah hingga akhir hayat.




Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Catat Ulasan

To Top